MISI MAHASISWA 3.0: PAHANG
Menjejak Komuniti, Menggerakkan Perubahan Bersama
Misi Mahasiswa 3.0: Pahang telah dilaksanakan pada 23 April hingga 3 Mei 2026 di Jengka, Pahang dengan penyertaan 60 orang sukarelawan mahasiswa. Program yang diketuai oleh saudara Danish Aneeqaiman Yusri ini membawa enam objektif utama yang memberi tumpuan kepada kanak-kanak, remaja, belia, wanita, warga emas dan masyarakat Orang Asli. Pendekatan program merangkumi pendidikan, kepimpinan, kebajikan, komuniti dan pembangunan sosial.
Program ini berjaya memberikan pengalaman lapangan yang menyeluruh kepada sukarelawan dalam mengurus pelbagai kumpulan masyarakat. Peserta dapat meningkatkan kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan program dan penyelesaian masalah. Program ini juga memperluas jaringan AKRAB dengan komuniti serta pihak berkepentingan di Jengka. Dari sudut impak, Misi Mahasiswa memperkukuh kesedaran sosial dan membentuk mahasiswa yang lebih cakna, empati dan bersedia menyumbang secara berterusan, bukan sekadar hadir melaksanakan aktiviti jangka pendek.
